Monday 17 November 2014

Mini Karnival Kesihatan KEMAS Wilayah Persekutuan 2014



Jabatan Kemajuan Masyarakat, Wilayah Persekutuan mengalu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat ke Program Mini Karnival Kesihatan. Program akan berlangsung pada 22 November 2014 bertempat di Taman Kejiranan Ayer Panas, Setapak, Kuala Lumpur dimana 12 agensi turut terlibat menjayakan program ini.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti:
- Aktiviti Sukan 
- Forum Perdana
- Ceramah Kesihatan
- Pameran
- Jualan

Jangan lepaskan peluang anda untuk bersama-sama memeriahkan Program Mini Karnival Kesihatan ini.


Thursday 12 June 2014

Pendaftaran Tabika & Taska KEMAS Sesi 2015













TAMAN BIMBINGAN KANAK-KANAK (TABIKA)

Pengenalan

Program pendidikan awal kanak-kanak yang dianjurkan oleh KEMAS dikenali sebagai Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) merupakan program yang memberi peluang pendidikan awal bagi kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun.
Konsep Tabika KEMAS ialah ‘Belajar Melalui Bermain' yang diselaraskan dengan sifat semulajadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba. Konsep tersebut kemudiannya diperluaskan kepada menguasai kemahiran 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).
Konsep ini bertujuan untuk memberi peluang dan galakan kepada kanak-kanak menguasai kemahiran asas dan pengalaman yang akan memudahkan mereka menerima pendidikan formal di sekolah rendah kelak.
Disamping itu, ia juga bagi meningkatkan kecemerlangan potensi individu kanak-kanak secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak ditingkatkan dengan pemupukan dan pengukuhan kepada amalan nilai-nilai murni melalui usaha-usaha dan program yang terancang dan berstruktur.
Usaha ini bertujuan melahirkan pewaris cemerlang negara yang dibimbing dan dididik dalam suasana dan persekitaran yang sihat, ceria dan selamat di samping kerjasama erat dengan ibu bapa.

Objektif

  1. Menggalakkan perkembangan Sosial, Emosi, Fizikal, Intelek dan Rohani (SEFIR) kanak-kanak melalui pelbagai pendedahan dan interaksi ;
  2. Menyedia dan mengembangkan kemahiran asas 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul) sebagai persediaan ke alam persekolahan ;
  3. Meluaskan pengalaman, peluang belajar dan mengembangkan potensi individu kanak-kanak melalui pengajaran dan pembelajaran yang terancang, sesuai dengan peringkat umur, kemampuan, kebolehan dan minat kanak-kanak ;
  4. Membentuk sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotik ;
  5. Memupuk dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, kreatif dan mengembangkan sifat ingin tahu ; dan
  6. Menggalakkan kecerdasan dan kemahiran fizikal serta amalan kesihatan, kebersihan dan keselamatan yang baik melalui makanan tambahan yang seimbang, aktiviti fizikal dan rutin harian.


Pengurusan

Pengurusan, pengelolaan dan pemantauan Tabika ialah tanggungjawab dan kerjasama erat antara KEMAS dan masyarakat.
  1. Pemaju Masyarakat / Guru Tabika
    Bertanggungjawab dalam pengajaran dan pembelajaran, pengurusan aktiviti kokurikulum dan aktiviti penglibatan ibu bapa.
  2. Pembantu Guru Tabika
    Bertanggungjawab menyediakan makanan tambahan, menjaga kebersihan dan keceriaan kelas dan membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
  3. Jawatankuasa Tabika
    Bertanggungjawab dalam pengurusan dan pentadbiran Tabika, aktiviti kokurikulum dan aktiviti penglibatan masyarakat.
  4. Penyelia Prasekolah
    Membuat pemantauan pelaksanaan Tabika di peringkat parlimen.

Aktiviti

Aktiviti Kokurikulum
Kokurikulum Mingguan:
Masa – 2 jam seminggu (1 jam setiap sesi selepas waktu kelas)
Aktiviti :
  1. Kelas Fardhu Ain/Iqra'
  2. Kelas Bahasa Inggeris
  3. Kompang/Percussion
  4. Seni mempertahankan diri
  5. Seni Tari/senamrobik
  6. Kokurikulum Tahunan :
  7. Hari Potensi/Hari Kecemerlangan
  8. Hari Sukan/Sukaneka/gotong royong
  9. Lawatan Pendidikan/3K
Aktiviti dan Penglibatan ibu bapa
Ibu bapa digalakkan melibatkan diri secara aktif melalui kerjasama yang erat sebagai rakan kongsi dengan Tabika bagi tujuan meningkatkan kualiti dan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Ibu bapa digalakkan terlibat dalam aktiviti-aktiviti seperti berikut :-
  1. Pendidikan
    Membantu memperkukuhkan pendidikan anak-anak di rumah supaya terdapat kesinambungan pendidikan antara Tabika dan rumah, termasuk membantu membina bahan bantu mengajar untuk guru.
  2. Pendidikan Keibubapaan
    Bengkel dan kursus untuk ibu bapa yang dianjurkan oleh Tabika untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ibu bapa berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.
  3. Aktiviti Kokurikulum
    Membantu guru dalam aktiviti kokurikulum, pelaksanaan Hari Potensi, sukaneka, penyampaian sijil dan lain-lain aktiviti yang bersesuaian dengan masyarakat setempat.
  4. Aktiviti Keindahan, Keselamatan dan Kebersihan Tabika
    Bersama dengan Ahli Jawatankuasa Tabika meningkatkan keindahan, keselamatan dan kebersihan dan keceriaan Tabika melalui aktiviti gotong-royong, sumbangan kewangan dan bahan untuk mengindahkan lanskap, menganjurkan kempen-kempen bulanan seperti Kempen Kebersihan, Menabung dan lain-lain.

Pendekatan

Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran
Pemaju Masyarakat/guru Tabika KEMAS menggunakan pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan diri, keperluan, kebolehan, bakat dan minat serta latar belakang kanak-kanak. Tujuannya ialah untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna, berkesan dan mengembirakan.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran adalah berasaskan konsep dan prinsip pendidikan prasekolah iaitu :-
  1. Belajar Melalui Bermain
    Proses pengajaran dan pembelajaran yang mengembirakan, meningkatkan keupayaan kognitif, keinginan untuk meneroka bagi memenuhi perasaan ingin tahu, kemahiran motor kasar dan halus, kemahiran berfikir secara inovatif, kritis dan kreatif serta membantu mengatasi perasaan bimbang dan tertekan.

    Pengalaman pembelajaran akan memberi kesan yang bermakna dan penguasaan kemahiran akan terbina dan membantu perkembangan ke tahap yang maksima.
  2. Bertema
    Pengajaran dan pembelajaran melalui satu tema atau topik yang dipilih bersesuaian dengan masa, tempat, minat dan latar belakang kanak-kanak dijadikan sebagai alat untuk menguasai sesuatu kemahiran seperti bertutur, membaca, menulis, asas matematik dan berfikir di samping memberi peluang kanak-kanak meluaskan pengetahuan melalui tema yang dipilih.
  3. Bersepadu
    Proses pengajaran dan pembelajaran ini membantu kanak-kanak memahami hakikat kehidupan sebenar yang saling berkaitan antara satu sama lain dan bukannya sesuatu yang terpisah-pisah. Ini akan menyediakan kanak-kanak mendalamai atau meneroka sesuatu topik, banyak pilihan dan motivasi, menimbulkan kepuasan belajar, pembelajaran lebih aktif, menggembirakan, bermakna, meningkatkan daya imaginasi, kreatif, kemahiran berbahasa dan nilai murni.
  4. Teknologi Maklumat dan Komunikasi
    Membantu proses pengajaran dan pembelajaran, memperolehi maklumat, berinteraksi dengan bahan untuk belajar sendiri dan dengan rakan serta memperkaya pengalaman pembelajaran.

    Pengelolaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini dikelolakan secara kelas, kumpulan dan individu yang dijalankan secara terancang.
Penilaian dan Rekod Perkembangan Kanak-kanak
Pemaju Masyarakat/guru Tabika akan membuat penilaian melalui proses pengumpulan maklumat perkembangan dan kemajuan kanak-kanak secara berterusan. Penilaian adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang bertujuan mengenal pasti pelbagai kecerdasan dan potensi untuk dipertingkatkan serta pengukuhan.
Hasil penilaian membolehkan guru mengambil tindakan susulan yang berkesan bagi mengembangkan potensi kanak-kanak. Rekod kesihatan dinilai dengan kerjasama Jabatan Kesihatan di peringkat daerah yang membuat pemeriksaan fizikal dan gigi secara berkala di Tabika.

Pengajaran & Pembelajaran

Kurikulum
Tabika KEMAS mengguna pakai Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang telah diwajibkan pengunaanya pada 1 Januari 2010 mengikut Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) yang digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kanak-kanak yang belajar di Tabika KEMAS akan belajar mengikut 6 Tunjang Pembelajaran yang dilaksanakan secara bersepadu iaitu :-
  1. Komunikasi
  2. Kerohanian, Sikap dan Nilai
  3. Kemanusiaan
  4. Keterampilan diri
  5. Perkembangan Fizikal dan Estetika
  6. Sains dan Teknologi

Tempoh Masa

Tempoh pengajaran dan pembelajaran di Tabika KEMAS adalah 4 jam mulai jam 7.30 pagi hingga 11.30 pagi atau 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.
Selain itu, KEMAS turut melaksanakan tambahan masa 2 jam (1 jam bagi setiap sesi) seminggu selepas waktu pengajaran dan pembelajaran untuk menjalankan aktiviti kokurikulum seperti kelas fardhu ain dan iqra', Bahasa Inggeris, Muzik, Seni mempertahankan diri atau senaman dan seni tari mengikut keperluan.

TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK (TASKA)

Pengenalan

Program pengasuhan kanak-kanak KEMAS atau dikenali dengan nama Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) adalah selaras dengan Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar. Program ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, bandar dan pinggir bandar bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin.
Perkhidmatan TASKA termasuk di bawah Program Kesejahteraan Rakyat (PKR) atau Progrm Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Tujuannya untuk memberi peluang kepada ibu-ibu bergiat di bidang ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup keluarga. Di samping itu juga melalui TASKA, program pendidikan keibubapaan dapat dilaksanakan untuk ibu bapa dan masyarakat.

Objektif

  1. Menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak dalam suasana yang selamat, ceria dan selesa.
  2. Menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu
  3. Menyediakan makanan seimbang dan berkhasiat bagi membantu pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak serta mengamalkan gaya hidup sihat.
  4. Menerapkan nilai-nilai murni supaya kanak-kanak dapat menghayati dan mengamalkannya sejak kecil
  5. Menggalakkan kecerdasan dan kemahiran fizikal serta amalan kesihatan, kebersihan dan keselamatan yang baik melalui aktiviti fizikal.

Pentadbiran

Pengasuh TASKA
Bertanggungjawab dalam pengasuhan, menjaga keperluan asas, kebersihan, perhubungan yang sihat, menyediakan persekitaran dan merangsang perkembangan kanak-kanak di samping dengan ibu bapa.
Jawatankuasa TASKA
Pemilihan dari kalangan ibu bapa, pemimpin dan masyarakat setempat. Jawatankuasa bertanggungjawab dalam pengurusan atau pentadbiran TASKA, Aktiviti Kokurikulum dan Aktiviti Penglibatan Masyarakat.

Pengasuhan

Tempoh Masa Pengasuhan
Tempoh masa pengasuhan sehari di TASKA ialah jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang berjumlah 6 hari seminggu. Terdapat juga perkhidmatan TASKA, terutamanya di luar bandar beroperasi separuh hari dari jam 7.30 pagi hingga 1.00 tengahari sahaja yang berjumlah 5 hari seminggu.
Ahli Jawatankuasa TASKA bertanggungjawab menetapkan tempoh masa ini mengikut kesesuaian waktu bekerja ibu bapa dan masyarakat setempat.

Kurikulum

TASKA KEMAS menggunakan Modul Asuhan Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diintegrasikan dengan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Aktiviti dilaksanakan mengikut kebolehan, minat dan peringkat umur kanak-kanak 2 hingga 4 tahun.
Komponen pembelajaran dilaksanakan secara bersepadu seperti berikut:
  1. Bahasa dan Komunikasi
  2. Pendidikan Kerohanian dan Moral
  3. Perkembangan Kognitif
  4. Perkembangan Sosioemosi
  5. Perkembagan Fizikal
  6. Kreativiti dan Estetika

Yuran

Yuran Bulanan
  1. Yuran bulanan TASKA ditetapkan oleh Jawatankuasa TASKA mengikut kemampuan ibu bapa dan masyarakat setempat.
  2. Yuran bulanan minimum RM 30.00 dan maksimum RM 180.00 untuk perkhidmatan seharian dari jam 7.30 pagi–5.00 petang dan 6 hari seminggu.
  3. Yuran bulanan minimum RM 10.00 untuk perkhidmatan separuh hari dari jam 7.30 pagi–1.00 tengahari dan 5 hari seminggu.

Pelaksanaan

Kumpulan Sasar, Kanak-kanak berumur 2 hingga 4 tahun.
Konsep
  1. Pelaksanaan Program TASKA berkonsepkan ‘Kasih Sayang, Kemesraan dan Galakan'.
  2. Melalui program ini kanak-kanak diasuh di tempat dan persekitaran yang selamat, penuh kasih sayang dan galakan yang dapat membantu perkembangan kanak-kanak yang sempurna.
Strategi
  1. Diwujudkan di kawasan luar bandar, bandar dan pinggir bandar bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin.
  2. Membina bangunan TASKA yang diselarakan oleh Bahagian Pembasmian Kemiskinan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan kerjasama KEMAS.
  3. KEMAS melatih dua (2) orang Pengasuh bagi setiap TASKA terdiri dari masyarakat setempat di institusi latihan KEMAS.
  4. Penyeliaan teknikal dan ikhtisas oleh Penyelia Prasekolah di peringkat Parlimen.
  5. Ahli Jawatankuasa yang dilantik dari kalangan ibu bapa dan masyarakat setempat bertanggungjawab dalam TASKA.

Wednesday 3 April 2013

Selamat Datang Ke Laman Blog KEMAS Wilayah Persekutuan

Selamat datang ke laman blog KEMAS Wilayah Persekutuan

Di laman blog ini anda akakn mendapat maklumat mengenai Kemas Wilayah dan aktiviti-aktiviti yang di jalankan.